ke hadapan bintang jatuh-fynn jamal



ke hadapan bintang jatuh,
kau nampak tidak anak itu sedang hampir-hampir terbunuh?
iya, dia itu yang sedang menangis di tepi tangga batu
iya, dia itu yang sedang sendirian tersedu-sedu.

dia tu sangat-sangat kasihan
di dunia ini dia rasakan, “aduh, aku sangat sendirian”
tidak ada sahabat, tidak ada kawan
kerana baginya dia langsung tidak reti berteman.

wahai bintang, aku ada bicara.
mahukah kau dengarkan andainya aku mau untuk bersuara?
janganlah jatuh dulu, nanti-nantilah dulu
ada pesan aku mau kirimkan lewat suara kamu.

anak itu tidak tahu bagaimana untuk bangkit dan ketawa
kerana apa yang dilihatnya lucu tidak pula di mata mereka
dia percaya pada kisah pari-pari dan kayangan
dia sanggup percaya setiap perkara itu adanya kemungkinan.

maka mana mungkin ada yang mahu mengerti
hatinya terlalu murni, pastilah ramai yang akan benci
dia dihina kerana percaya akan sesuatu yang bernama cinta
dia diolok-olok, dia dibobrok-bobrok, dia dimain-main kerana cinta.

lalu bintang jatuh, pergikan padanya dengan halus dan hati-hati
kisahkan ceritaku ini agar dia mengerti
yang sebenarnya bukan dia yg pelik dan songsang
cuma dunia yang bodoh kerana sudah berhenti memandang

bintang jatuh, perlahanlah!
jangan sampai kau mencecah
bintang jatuh, kisahkanlah!
ke matanya yang membasah

katakan padanya semua itu memang biasa
ceritakan juga tentang bundanya
juga suara ayahandanya yang dulu pernah diludah-ludah
mereka dibaling batu, dikeji-keji, dimarah-marah

hembuskan ke dalam hati anak itu yang sudah mula dingin
siulkan petik gitar ayahnya lewat suara angin
dan nyanyikan suara bundanya ini lewat guruh
bilang padanya “teruskan yakin kamu anak, biarkan bergaduh!"

"kerana kalau difikirkan orang, sampai bila
kalau difikirkan hati orang, cis! takkan kemana!
sesungguhnya manusia itu bagaikan serigala
sekali kau suapkan jiwa kamu, sampai bila-bila mau selama-lamanya"

bintang jatuh, perlahanlah!
jangan sampai kau mencecah
bintang jatuh, kisahkanlah!
ke matanya yang membasah

No comments: